Selalunya aku adalah tempat kawan-kawan aku meluahkan rasa hati mereka. Kali ni aku nak cerita pasal satu nikmat yang sang pencipta beri kepada kita iaitu cinta. Apa itu cinta??? Jika ditanya dengan ramai orang, insyaallah dengan pasti aku boleh katakan yang kita akan dengar banyak jawapan yang berbeza. Aku sendiri masih kabur dengan erti hakikat cinta.
“dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang berbentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan disisi Allah-lah tempat kembali yang baik”. Surah Ali-Imran:14
Cinta pada dunia, dunia akan pergi, Cinta pada manusia, manusia akan mati, Cintalah pada Allah kerana Dialah yang kekal abadi. Hari ini kita begitu asyik dengan cinta. Cinta pada harta, cinta pada dunia dan cinta pada kekasih. Sehinggakan Laila Majnun, Romeo dan Juliet menjadi idola. Kita juga mengaku cinta kepada yang Esa yang pada hakikinya tidak pernah terlintas di sanubari. Buang emak buang saudara kerana kasih diturutkan. Tapi kita kurang rasa cinta pada Yang Esa. Kita mengaku menyintai Allah tapi tak pernah melaksanakan tanggungjawab kepadaNya. Acap kali kita melafazkan cinta sehingga lalai untuk membuktikan cinta kita pada yang Esa. Sekadar sembahyang lima waktu yang kadang kala kita abaikan. Adakah itu bukti cinta kita pada Allah? Sekadar berpuasa lapar dan dahaga sahaja, ataupun sekadar mengeluarkan zakat atas desakan, itukah yang dipanggil cinta abadi kepadaNya? Amalan kita hanyalah ala kadar saja. Sedarlah amalan yang kita bangga-banggakan selama ini sebenarnya masih jauh lagi untuk membuktikan cinta pada Allah. Cinta sebenarnya ialah cinta yang dipenuhi keikhlasan begitu juga dengan amalan kita kepadaNya. Tanda-tanda cinta pada Allah:
- Cinta pada kematian
- Bermunajat kepada Allah
- Sentiasa berzikir kepada Allah
- Berjuang dijalan Allah
- Melakukan ketaatan dirasakan nikmat
- Tidak berduka dengan kehilangan sesuatu
- Menundukkan nafsu
- Menjalin kasih sayang sesama makluk
- Takut berpaling daripada Allah.
Secara peribadi, aku tidaklah menolak cinta kepada manusia secara keseluruhannya kerana cinta itu merupakan fitrah manusia dan merupakan alat untuk kita ke akhirat. Cuba kita fikir andailah kita mencintai seseorang, kita tambah sikit lagi tentang siapa yang mencipta orang yang kita cinta itu. Umpamanya bila kita rasa cinta pada seseorang, pasti kita akan merasa cinta juga terhadap ibu bapa orang tersebut. Jadi apa salahnya jika kita sentiasa berfikir tentang siapa pencipta orang yang kita cinta itu supaya rasa cinta kita juga akan wujud kepada si sang penciptaNya.
Ingatlah wahai kawan-kawanku, jangan disebabkan cinta kepada sesuatu kita lupa untuk mencintai yang hak iaitu Allah Yang Esa. Kita akan merasa manisnya cinta di dunia dan akhirat jika kita bijak menjaganya. Insyaallah. Wallahu ‘alam
Created by: tintapermata=>