KUALA LUMPUR 26 April - Kementerian Kesihatan akan menguatkuasakan serta-merta empat langkah bagi mencegah wabak selesema babi daripada menular ke negara ini.


Langkah-langkah tersebut ialah:


l. Melaksanakan pemantauan bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap situasi terkini wabak itu bagi memastikan tindakan proaktif dapat diambil untuk melindungi kesihatan awam di negara ini.


2. Meminta pengamal perubatan termasuk di sektor swasta mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kes-kes yang mempunyai tanda-tanda 'penyakit seperti selesema'. Ia termasuk kes rawatan yang mempunyai gejala penyakit radang paru-paru yang teruk dan individu yang pernah melawat Mexico, California atau Texas selepas 17 April lalu.


Pengamal perubatan diminta memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah terdekat dengan serta-merta melalui telefon untuk tindakan pencegahan dan kawalan.


3. Melakukan saringan tanda-tanda jangkitan selesema babi di semua pintu masuk negara ini untuk pelawat atau warga Malaysia yang pernah melawat ke Mexico, California atau Texas selepas 17 April lalu.


4. Membuat kenyataan akhbar dari semasa ke semasa mengenai situasi wabak itu untuk maklumat orang awam dan langkah kawalan serta pencegahan yang diambil oleh kerajaan.


Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican bagaimanapun meminta orang ramai tidak risau dengan keadaan di Mexico dan Amerika Syarikat.

Menurutnya, pihak berkuasa di negara terbabit telah bekerjasama dengan WHO untuk mengambil langkah pencegahan dan kawalan wabak itu daripada menular ke luar negara.

"Tindakan kerjasama perkongsian maklumat serta langkah pencegahan dan kawalan sedang diambil oleh Kementerian Kesihatan dengan pihak WHO," katanya.


Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mempunyai vaksin H1N1 untuk disuntik kepada ternakan babi bagi mencegah penularan wabak selesema babi di negara ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Abd Aziz Jamaluddin, berkata jabatan hanya menunggu arahan Kementerian Kesihatan untuk melaksanakan proses vaksinisasi terhadap ternakan babi.

"Buat masa ini belum ada arahan untuk menyuntik vaksin H1N1 kepada ternakan babi di seluruh negara tetapi jika diarah dan keadaan memerlukan, sudah ada vaksin yang sedang dikaji bagi tujuan itu," katanya.

Dr Abd Aziz berkata, persatuan penternak negeri dikehendaki bekerjasama dengan JPV untuk melaporkan sebarang simptom berkaitan selesema babi.

"Jika ada tanda-tanda yang sama seperti virus influenza, demam yang tinggi, sakit tekak dan sakit badan, pekerja ladang perlu diberi cuti dan menjalani pemeriksaan," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini jabatan belum menerima sebarang laporan berhubung wujudnya simptom selesema babi di negara ini.

Katanya, selesema babi berpotensi untuk menjangkiti burung tetapi kadar kemungkinannya adalah rendah.


"Jika selesema burung boleh berjangkit melalui pemakanan, sebagai contoh memakan ayam, selesema babi pula tidak boleh dijangkiti dengan memakan babi tetapi ia boleh dijangkiti melalui pembawaan manusia," katanya.


Maklumat lanjut mengenai wabak selesema babi boleh diperoleh dengan menghubungi talian 03-88810200 atau 03-88810300 atau layari laman web www.moh.gov.my

penyakit baru melanda dunia, kita perlu berjaga-jaga...
jika ada tanda-tanda seperti yang dimaklum,
bersegeralah membuat pemeriksaan.

marilah kita bersama-sama tingkatkan amal dan berdoa agar
diri dan keluarga tabah menghadapi ujian yang Allah kepada makhluknya.

salam ukhwah

amin


Leave a Reply

ADAKAH KAU LUPA?

ADAKAH KAU LUPA?
ditujukan khas untuk para pejuang dan pencinta agama ALLAH,