Aku sedang asyik membaca blog kawan baik ku yang merupakan MPP UKM ketika ini. Terlintas difikiran ku tentang amanah yang amat berat dipikul oleh seorang pemimpin. Pernah satu ketika aku ditegur dan diingatkan oleh seorang kawan ku tentang kepimpinan ku. Hingga sekarang aku masih berpegang kepada kata-katanya.
“rahim(bukan nama sebenar), kau tau tak apa erti seorang pemimpin. Pemimpin ni umpama seorang raja yang duduk di atas satu puncak bukit. Rakyat ni pula umpama orang yang duduk di kaki-kaki bukit tersebut. Orang yang duduk di kaki-kaki bukit ni selalu mendongak untuk meliha keadaan rajanya yang ada di atas puncak bukit tersebut. Mereka sentiasa mengharapkan sesuatu yang dapat diberikan oleh sang raja kepada mereka. Mereka boleh melihat susuk tubuh sang raja keseluruhannya dari kaki hingga kepala. Sang raja pula hanya dapat melihat kepala rakyat-rakyatnya sahaja tanpa dapat melihat keseluruhan tubuh rakyatnya”
Itulah kata-kata keramat yang pernah aku terima dan membuatkan aku selalu berfikir akan amanah yang sedang aku pikul. Pangkat yang aku ada bukanlah satu kelebihan bahkan ia merupakan satu amanah yang amat berat sekali. Di dalam petikan pujangga arab ada mengatakan, “bila mana kamu menerima suatu tanggungjawab, umpama sebelah kakimu telah berada di neraka jahannam. Bila mana kamu leka atas amanah tersebut, maka akan terjunlah kamu kedalamnya secara keseluruhan. Tetapi bila mana kamu dapat melaksana dan menjaganya dengan baik, dirimu akan selamat”.
Rakyat selalu mengharapkan sesuatu kebaikan yang mampu diberikan oleh pemimpin kepada mereka. Tetapi dewasa ini dapat kita lihat bagaimana pemimpin terlalu rakus untuk mengejar nama, kemasyhuran dan harta. Kadang-kadang aku juga leka dan lalai bahawa tanggungjawab yang telah diamanahkan ke atas diri ini sangat berat sekali. Rakyat sanggup berkorban demi pemimpin yang mereka sayangi, tetapi apakah balasan yang telah diberikan oleh sang pemimpin. Ya Allah, aku amat takut akan kuasa yang aku ada ini. Kuasa yang aku miliki ini adalah ujian yang amat berat bagiku sehinggakan hanya air mata sahaja yang mampu memberi aku kekuatan dan dekat denganMu.
Rasullullah pernah bersabda yang berbunyi, “setiap dari kamu akan dipertanggungjawabkan tentang apa yang telah kamu lakukan, dan pemimpin akan dipertanggungjawabkan tentang apa yang telah dipimpin olehnya”. Ameer (ketua) adalah pemimpin bagi rakyatnya, suami adalah pemimpin bagi sesebuah keluarga dan tiap individu adalah pemimpin bagi diri mereka sendiri.
Apakah yang kamu kehendaki wahai pemimpin??? Ingatlah bahawa kuasa yang kita ada ini bukan satu keistimewaan bahkan ia merupakan satu amanah yang perlu dilaksanakan dan dijaga dengan baik. Setiap tingkah laku si pemimpin akan diperhatikan dengan teliti oleh rakyat-rakyatnya. Hanya dengan sedikit kesilapan, akan dicanang keburukan itu di merata-rata tempat. Janganlah sesekali kita mengejar nama atau kemasyhuran atas setiap tindakan kita kerana sesungguhnya hati seorang pemimpin ini amat mudah dijangkiti dengan penyakit-penyakit hati. Ikhlaskan diri agar menerima keredhaan Allah.
“ya Allah jika hanya kerana kuasa ini aku jauh dariMu, maka engkau tariklah ia. Jika dengan kuasa ini aku dapat membangunkan agamaMu, maka bantulah aku. Jika dengan kuasa ini aku melakukan kerosakkan, hukumlah aku. Jika dengan kuasa ini aku dapat menjaga agamaMu, maka berikanlah aku kekuatan. Ya Allah, lindungilah aku dari segala permasalahan hati yang menyebabkan amalanku tidak diterima. Bantu dan lindungilah aku”
Pemimpin tanpa rakyat umpama sebatang pokok yang hanya ada batang tetapi tidak mempunyai akar. Bila adanya rakyat maka adanya pemimpin. Bila mana adanya akar, maka adanya batang bagi pokok itu. Terima kasih diucap kepada sahabat yang pernah menigatkan diri ini tentang hakikat pemimpin. Kata Umar r.a ketika beliau dilantik menjadi khalifah “sebaik-baik perkara yang mampu dilakukan oleh rakyat kepada pemimpinnya adalah memberi teguran kerana teguran adalah perkara yang paling berharga bagi seorang pemimpin”
Sabda Nabi s.a.w. maksudnya:
"Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ianya pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya."
Created by: tintapermata=>