"aku mahu jadi baik seindah mutiara"


SALAM RAMADHAN MUBARAK

Apakah definisi ‘baik’?

Mungkin kalau kita lihat kamus dewan bahasa dan pustaka, pasti wujud maknanya yang tersendiri. Namun, untuk saya, ‘baik’ itu adalah apabila kita beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benar keimanan.

Mengambil Islam secara menyeluruh, maka itulah dia ‘baik’.

Pakai tudung, tapi tak solat, maka itu belum dikatakan baik. Solat pergi masjid, tapi mulut masih mengutuk-mengeji orang, maka itu belum dikatakan baik. Hafal Al-Quran 30 juzu’, tapi masih sokong sistem jahiliyyah, maka itu belum dikatakan baik.

Baik, adalah apa yang Allah kata baik.

Dan yang mengambil Islam secara menyeluruh, itulah dia baik.

Persoalannya, bagaimana hendak menjadi ‘baik’ yang ini?


Bermula dengan membina kesedaran

Mengapa manusia tidak mampu menggerakkan dirinya untuk menjadi ‘baik’?

Sebab tidak wujudnya kesedaran di dalam diri. Terhasilnya pergerakan ke arah kebaikan adalah apabila kita berjaya menyedarkan diri kita untuk bergerak ke arah itu. Merasakan diri ini perlu melakukan perubahan, sedar betapa hidup ini memerlukan panduan, perasan betapa hati ini punya satu kekosongan, memandang tanggungjawab dan keterikatan diri terhadap orang sekeliling, inilah yang membuatkan diri punya rasa dahaga kepada peningkatan.

Maka kesedaran ini perlu diwujudkan.

Dengan memerhati dan berfikir.

Mulakan dengan penciptaan diri. Apakah diri kita ini terwujud untuk bermain-main sahaja? Atau kita diwujudkan atas satu signifikan tertentu, dan hendak menuju ke satu matlamat yang tertentu?

Timbulkan kesedaran.

Kesedaran menggerakkan diri kepada perubahan.

Perlahan, tetapi istiqomah

Menjadi ‘baik’ bukan mudah. Bahkan, kalau kita memberatkan kepala kita dan berfikir terlalu jauh, maka kita akan lihat betapa kita ini memang tidak akan mampu menjadi ‘baik’. Sebab akhirnya kita akan melihat betapa ‘baik’ itu sendiri hakikatnya adalah satu kesempurnaan.

Mustahil manusia akan mencapai kesempurnaan.

Tetapi manusia masih boleh bergerak ke arah kesempurnaan. Walaupun mungkin tidak akan mencapai kesempurnaan, namun dalam perjalan manusia mencari kesempurnaan itu, insyaAllah dia akan meningkat ke arah kebaikan demi kebaikan. Semakin jauh perjalanannya di atas jalan mencapai kesempurnaan, semakin tertingkat dirinya.

Sebab itu hendak menjadi ‘baik’ perlu disertai dengan kesabaran, ketabahan dan kecekalan hati. Mula dengan perkara-perkara asas yang hendak diperbaiki. Buat jadual dan wujudkan target. Lakukannya perlahan-lahan tetapi pastikan ia berkekalan.

Inilah dia jalan mereka yang telah berjaya melakukan perubahan.

Suka saya ulang betapa manusia itu bukan seperti Plastisin yang diketuk terus berubah bentuk.

Tetapi manusia ibarat tanah liat yang hendak dibuat tembikar, perlu dibentuk perlahan-lahan dengan penuh kehalusan.

Memegang definisi ‘baik’ yang benar



Kejelasan fikrah dalam mengejar ‘baik’ adalah amat penting. Salah mentafsir ‘baik’, maka kita akan melencong ke arah yang salah. Kita tidak akan menjadi ‘baik’ atas apa yang sedang kita bincangkan ini.

Mahu tidak mahu, kita perlu kembali kepada sumber segala kebenaran.

Itulah dia Al-Quran dan As-Sunnah. Kembali kepada apa yang Allah kata dan apa yang Rasul kata. Bukan kembali kepada apa yang manusia itu kata dan apa yang manusia reka-reka. Kita lihat dan ikut apa yang manusia kata dan apa yang manusia buat pun adalah sekiranya apa yang manusia kata dan apa yang manusia buat itu selari dengan apa yang Allah kata dan apa yang Rasul kata.

Maka di sinilah wujudnya kepentingan betapa kita perlu memandang kembali hubungan kita dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Bagaimanakah kita melayani dua perkara ulung ini? Mungkin benar kita bukan orang yang mengaji agama. Tetapi pada saya, perkara basic di dalam Islam tidak memerlukan penjelasan atau tafsir yang rumit. Baik dan buruk telah diterangkan dengan jelas di dalam Al-Quran tanpa perlu ditafsirkan panjang-panjang bagi menggapai maknanya.

Alasan: “Eh, saya bukan pelajar agama” untuk tidak menyentuh Al-Quran dan membaca maknanya, pada saya adalah alasan yang tertolak. Mungkin untuk mengistinbatkan hukum, menterjemahkan ayat mutasyabihat, mendalami tafsir ayat, ya, semua itu kita perlu kepada yang pakar. Tetapi sekadar untuk melihat apakah justifikasi Allah terhadap apa itu ‘baik’, dan apa itu ‘buruk’, insyaAllah kita semua mampu melakukannya.

Cuma persoalannya, apakah kita kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah?

Kadangkala, kita melihatnya pun tidak. Di sinilah masalahnya.

Penutup: Bergeraklah menjadi baik. Walaupun payah dan sukar

Tiada yang pernah terlewat menjadi baik selagi belum mati. Namun yang membuatkan kita tidak boleh melakukan penangguhan dalam bergerak menjadi baik adalah kita tidak tak tahu bila kita akan dijemput oleh kematian.

Sebab itu, memang better late than never. Tetapi better not late at all.

Memang menjadi ‘baik’ mengikut acuan Allah ini sukar. Kita perlu jaga diri kita 24/7/. Perlu sentiasa berjaga-jaga. Kalau buat salah perlu segera istighfar dan bertaubat. Macam-macam.

Namun itulah dia mahar untuk mendapat rahmat Allah SWT yang tidak berbelah bagi.

Dan saya tidak nampak kerugian menjadi baik.

Mungkin rugi sedikit perkara-perkara kepuasan nafsu dan keseronokan dunia.

Tetapi untuk kehidupan di atas dunia yang harmoni dan bahagia, untuk kehidupan di akhirat yang abadi selamanya, apalah sangat pengorbanan sedikit kita itu.

Allah bukan kejam.

Setiap amal ada balasan. Setiap pengorbanan, ada timbal baliknya. Allah Maha Adil, Maha Penyayang, Maha Pengasih, lagi Maha Bijaksana.


PERKONSIAN DARI USTAZ HILAL YANG MEMBERI PENCERAHAN ILMU DAN JIWAKU, TERIMA KASIH USTAZ..


MOGA2 CITA2 KU MENJADI REALITI

"BERMUJAHADAH ITU PAHIT, TETAPI HASILNYA MANIS"


IBN KHALID


One Response so far.

  1. kitahamba says:

    baik = ikut skema ALLAH n Rasul...

Leave a Reply

ADAKAH KAU LUPA?

ADAKAH KAU LUPA?
ditujukan khas untuk para pejuang dan pencinta agama ALLAH,