"baitul dakwah" impian menjadi realiti


ASSALAMUALAIKUM W.B.T DAN SALAM UKHWAH

Alhamdulillah, syukur kehadrat ilahi dengan limpah dan inayahnya, kita masih lagi hidup dengan baki-baki usia dan masa untuk menempuh kehidupan sebgai makhluk Allah dibumi ciptaannya. syukur juga diucapkan kepada sahabat2 yang telah bercadang dan akan mendirikan rumah tangga semasa cuti ini. mengambil peluang cuti merupakan satu langkah bijak kerna ramai sahabat2 berpeluang untuk menghadiri walimatulurus yang diakan. tahniah diucapkan pada sahabat sekelas sekolah rendah , habibah ( sepupuku) , auji dan juga yang akan menyusul syahril serta rithauudin.. semuanya sahabat sekolah rendahku... moga2 menjadi pasangan yang bahagia membentuk rumahtangga yang terbilang dan diredhai Allah.

syukran diucapkan pada sharaf ( junior ku) yang sempat memberi peringatan kepadaku berkenaan artikel suami bestari dan difikirkan ia juga sangat bermanfaat untuk bakal suami , sahabat2 ku yang akan membina syurga di dunia dan juga insan yang telah bergelar suami.. ada 50 langkah yang dibincang , sungguh banyak , namun ada beberapa perkara yang kita bole mulakan awal dan selainnya akan menyusul kemudian . semoga berbahagia baitul muslim yang didirikan..

1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa.

2. Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

3. Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda.

4. Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.

5. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan unutk berbual dengan isteri setiap hari ?

6. Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.

7. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.



8. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.

9. Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.


10. Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.

11. Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan menbahagiakan pasangan anda.

12. Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin. Amalan bermesyuarat menarik hidayat Tuhan,mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.

13. Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan Penampilan diri sendiri. Mana adil ?

14. Didik isteri dengan memberi nasihat dan perigatan secara hikmah. Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakan cakap tak serupa bikin.

15. Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumah tangga terancam.

16. Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan dan kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera

17. Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan.

18. Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan.

19. Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang menbeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami yang memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana ?





20. Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.

21. Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.

22. Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab ditegur, tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.

23. Gunakan Nabi Muhammad sebagai model. Hidupkan amalan sunah dalam rumah tangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.

24. Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.

25. Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, telefon ataupun SMS bagi mengingatkan sembahyang.

Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.

26. Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga,tidak pernah sensara serta berteraskan iman dan takwa.

27. Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.

28. Pamer keprihatian yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut berikan kepada keluarga.

29. Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar, waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.






30. Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja.Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.

31. Bentuk beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi Muhammad saw amat pemalu, pemaaf, peka,endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan lebih disayangi wanita.

32. Mahir dalam menguruskan keluarga. Peka dengan masalah dan karenah ahli keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian dan memilih penyelesaian yang optimum.

33. Membaiki diri secara berterusan. Tingkatkan iman dan takwa, cuci hati dengan sembahyang taubat, istighfar,memaafkan dan minta maaf, berkawan dengan orang yang baik, pendapatan yang berkat dan baiki amalan dan tindakan.

34. Jadi contoh atau model terbaik untuk keluarga. Doa dan usaha supaya setiap perbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan ahli keluarga. Apakah sifat dan amal anda yang dapat dicontohi oleh ahli keluarga ?

35. Jadikan diri anda pendorong dan motivator berkesan unutk keluarga. Sentiasa beri galakan dan belaian. Elak marah, kritik ataupun hina keluarga. Fikir positif dan bersangka baik terhadap keluarga.

36 Tingkatkan ilmu berkenaan agama. Lazimnya, suami yang mendidik keluarga berkenaan agama. Belajarlahilmu agama dengan niat mendidik diri dan keluarga.

37. Sentiasa menegakkan kebenaran. Tegas menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik. Elak mengenepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah.

38. Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi. Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Tegas sangat orang memberontak, lembut sangat orang pijak.

39. Latih diri memuji dan menghargai isteri. Ramai suami yang pandai kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan membuat dia terasa disayangi. Cari peluang untuk sentiasa memuji.

40. Cari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Ini termasuk senyum, lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah.

41. Fahami yang isteri ingin selalu di sisi suami. Suami pula berjauhan dengan isteri sekali sekala. Apabila berjauhan, telefon, SMS ataupun e-mel unutk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu.

42. Bentuk kerjasama yang mantap dengan isteri. Pamer kesatuan hati dan pendapat kepada anak-anak dan orang lain. Wujudkan kerjasama melalui mesyuarat, berbual, tolak ansur, bermaaf-maafan dan banyak berdoa.

43. Nilai diri daripada kaca mata isteri. Buang sifat dan amalan yang isteri benci. Berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia.

44. Apabila suami melayan isteri seperti mana dia melayan kawan, pasti isteri bahagia. Bayangkan cara anda melayan isteri sebelum kahwin. Ulangi layanan itu sekarang. Pasti hebat kesannya.

45. Suami wajar belajar jadi mengikut setia. Patuhi cadangan, Pandangan dan pandapat isteri yang betul. Jangan bangkang perkara yang baik. Kawal macho dengan saksama.

46. Buat undang-undang dalam rumah tangga. Apabila suami marah, isteri mesti senyap. Apabila isteri marah,suami mesti senyap. Ini mengelakkan daripada bergaduh. Orang tidak boleh bergaduh sendirian.

47. Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri. Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati.

48. Pimpin isteri dengan nasihat dan kasih sayang. Pesan selalu dan nasihat sekali-sekala. Waktu terbaik nasihat adalah semasa rehat, minum petang, waktu bersiar-siar dan semasa hendak tidur.

49. Seimbangkan hidup dengan sempurna. Rajin di tempat kerja, Rajin juga di rumah. Peramah dengan kawan, peramah juga dengan isteri. Disiplin di pejabat, disiplin juga di rumah. Sabar dengan orang, sabar juga dengan isteri. Di luar dan di dalam rumah serupa.

50. Urus stress dengan sempurna supaya keluarga tidak terjejas, lakukan riaadah, berdiet, hentikan merokok,bercampur dengan orang positif, bermain dengan bayi, tengok ikan di akuarium, menyanyi, sembahyang taubat dan maafkan semua orang.





SELAMAT MENEMPUH GERBANG PERKAHWINAN


BERCINTA SAMPAI KE SYURGA


IBN KHALID




ASSALAMUALAIKUM W.B.T DAN SALAM AIDIL ADHA

seifiniti kesyukuran kehadrat ilahi, masih lagi diberikan ruang, masa serta nikmat yang pelbagai untuk dirasai oleh makhluk ciptaan Allah yang merangkumi seluruh alam semesta.. alhamdulillah, cuti datang lagi , hari raya adha kembali disambut untuk tahun ini... semoga kita dapat manfaatkan cuti yang ada.. hari raya korban istilah yang selalu disebut oleh kita pabila berbicara tentangnya.. namun dari tahun ke tahun , kita sebagai muslim semestinya akan menyambut hari raya aidil adha dengan meriah walaupun tidak semeriah raya adil fitri.. tetapi penghayatan yang sepatutnya diambil berat oleh muslim semakin lesu.. disambutnya hari raya tetapi tidak memahami sejarah dan iktibar dr hari raya aidil adha.. mumtaz diucapkan kepada ustaz hilal asyraf yang membicarakan tentang raya korban.. moga2 mendapat iktibar dan mengambil ibrah dari perkongsiannya..

Esok 9 Zulhijjah. Lusa 10 Zulhijjah. Aidiladha.

Aidiladha, Aidiladha. Setiap tahun ada Aidiladha. Tetapi apakah yang kita nampak pada Aidiladha?

Nama lain bagi Aidiladha adalah Hari Raya Korban. Ya, korban. Sebut sahaja Adiladha, orang akan nampak korban. Suka saya bertanya, korban apakah yang kita nampak?

Biasanya, orang akan menjawab kepada saya, korban kambing, lembu dan di tanah arab ini, kami korbankan juga unta.

Adakah Aidiladha ini, hanya untuk kita memerhatikan korban yang itu?

Pernahkah kita melihat ke dalam diri, apakah pengorbanan yang telah kita lakukan untuk Allah SWT?

Maka di sini, suka saya hendak mengajak diri saya dan pembaca, untuk kita menjejak satu keluarga. Oh, ini bukan slot Bersamamu. Keluarga ini telah lama tiada. Tetapi masih hidup di dalam jiwa-jiwa manusia yang beriman. Yang telah menunjukkan pengorbanan yang tinggi kepada Allah SWT.

Mari kita menjejak Keluarga Ibrahim AS.

Apa yang berlaku pada keluarga itu?

Ibrahim AS telah membawa isterinya Hajar dan anaknya yang baru lahir bernama Ismail, ke satu lembah gersang di tengah padang pasir yang dikelilingi gunung ganang. Di situ, dia meninggalkan kedua-duanya.

Ini ditunjukkan dalam firman Allah SWT berkenaan doa Ibrahim As:

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.” Surah Ibrahim ayat 37.

Ibrahim AS kemudiannya kembali kepada isterinya Sarah di Palestin.

Di sini kita dapat melihat bahawa, Ismail AS tidak membesar bersama-sama bapanya Ibrahim AS. Yang menjaganya, bersabung nyawa memastikan penerusan kehidupannya, adalah ibunya Hajar. Namun apakah Hajar kecewa? Merasa tidak berguna dan sebagainya?

Kita akan perhatikan nanti.

Ibrahim AS meninggalkan mereka di lembah gersang itu, adalah sebahagian daripada aturan Allah SWT untuk sesuatu yang besar pada masa hadapan. Dan di sini, Ibrahim AS telah melakukan satu pengorbanan yang besar dengan meninggalkan anak dan isterinya di satu tanah yang gersang, tiada sumber air dan makanan.

Namun keimanannya kepada Allah SWT, keyakinan bahawa perintah Allah tidak akan menghasilkan sia-sia, membuatkan dia tabah meninggalkan isteri dan anaknya.

Ini pengorbanan yang pertama.

Ujian datang lagi buat keluarga itu

Selepas berlalu beberapa waktu, Nabi Ibrahim AS bermimpi bahawa dia menyembelih anaknya Ismail. Mimpi para Nabi bukanlah mimpi sebagaimana kita. Mimpi para Nabi adalah wahyu daripada Allah SWT.

Mendapat arahan itu, Nabi Ibrahim bergerak merentas padang pasir, daripada Palestin ke Makkah di Tanah Hijaz. Perjalanan yang bukannya pendek. Juga tidak mudah. Semata-mata untuk taat kepada Allah SWT, menyembelih anaknya sendiri.

Sampai sahaja di Makkah, kepada Ismail dia bertanya. Dan lihatlah apa yang Allah kisahkan akan jawapan seorang Ismail AS:

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar Surah Assaffat ayat 102.

Ismail AS juga taat tanpa banyak bicara. Tanpa berdalih. Tanpa memberikan apa-apa alasan untuk meragukan ayahnya agar tidak melaksanakan perintah itu. Sedangkan, nyawanya adalah taruhan dalam hal ini.

Maka Ibrahim AS pun melaksanakannya. Namun apabila pisau yang tajam itu dilalukan pada leher Ismail AS, ia tidak mampu menyembelihnya. Menyangkanya tumpul, maka Ibrahim AS mengasahnya semula dan melakukan penyembelihan itu sekali lagi. Namun tetap gagal. Sekali lagi Ibrahim AS mengasahnya. Namun untuk kali ketiga, penyembelihan tetap gagal dilakukan.

Ketika inilah Allah SWT mengiktiraf ketaatan keluarga itu. Dan menggantikan Ismail AS dengan seekor Qibasy.

“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;” Surah Assaffat ayat 103-107.

Dan ketaatan Ibrahim AS ini diiktiraf oleh Allah SWT, Ibrahim AS diangkat setinggi-tinggi darjat, bahkan dia dipuji oleh langit dan bumi. Ibrahim AS terkenal sebagai bapa para nabi, juga menjadi rebutan oleh kaum yahudi dan nasrani yang hendak menyatakan bahawa Ibrahim AS daripada kalangan mereka.

“Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh. Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak; dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan, dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri.” Surah Assaffat ayat 108-113.

Apa yang ditunjukkan pada kisah keluarga ini?

Pengorbanan. Mengorbankan apa yang diri kita sayangi, untuk mentaati perintah Allah SWT. Itu yang saya hendak fokuskan dalam kisah keluarga Ibrahim. Mari kita lihat dengan lebih teliti, agar kita lebih merasai.

Pengorbanan pertama: Nabi Ibrahim meninggalkan isteri dan anaknya di tanah gersang. Siapakah yang senang dengan keadaan demikian? Sebagai manusia, Nabi Ibrahim juga berat melakukannya. Namun itu adalah perintah Allah SWT, maka Nabi Ibrahim mengorbankan perasaannya, kepentinganya, kesenangannya, kerana yakin bahawa, tiadalah daripada perintah Allah SWT itu satu yang sia-sia.

Pengorbanan kedua: Nabi Ibrahim sanggup merentas padang pasir daripada Palestin ke Makkah, satu perjalanan yang jauh, untuk menyembelih anaknya. Sekiranya kita lihat semula, apakah itu? Bersusah payah merentas padang pasir panas, yang jauh, yang sukar, semata-mata untuk menyembelih anak sendiri? Tetapi Nabi Ibrahim melaksanakannya. Padang pasir yang panas, perjalanan yang jauh, menjadi kecil padanya dalam mentaati Allah SWT. Kerana keyakinan bahawa, tiadalah daripada mentaati Allah itu, selain kebaikan sahaja.

Pengorbanan ketiga: Melihat di sisi Ismail AS pula, anak itu tidak berdalih langsung semasa dinyatakan berkenaan penyembelihannya. Bahkan dia taat, dan menyuruh Ibrahim AS mentaatinya. Mengapa? Mengapa begitu sekali gaya Ismail AS? Hingga sanggup mengorbankan diri sendiri? Kerana itu adalah perintah Allah SWT. Kerana keyakinan bahawa Allah tidak akan mengarahkan sesuatu yang sia-sia, maka dia sanggup mengorbankan dirinya untuk mentaati Allah SWT.

Pengorbanan keempat: Satu watak yang tersembunyi dalam kisah ini adalah Hajar. Adakah Ismail AS itu, terbentuk taat begitu sahaja secara tiba-tiba? Tidak. Pastinya ada didikan yang membentuk Ismail menjadi sedemikian rupa. Itulah dia didikan tangan seorang Hajar. Bayangkan, Hajar, seorang isteri yang ditinggalkan di tanah gersang, dan dialah yang membesarkan Ismail. Namun, dia tidak membesarkan Ismail menjadi seorang yang membenci bapanya, bahkan membesarkan Ismail menjadi orang yang amat taat kepada Allah SWT. Ini menandakan Hajar rela dengan segala apa yang dilakukan Ibrahim AS. Kerana apa? Kerana Hajar tahu, bahawa Ibrahim AS mentaati Allah SWT. Dan Hajar mengetahui bahawa, mentaati Allah SWT tidaka akn emmberikan apa-apa melainkan kemuliaan.

Pengorbanan kelima: Ibrahim AS benar-benar menyembelih Ismail AS. Dan Ismail AS tidak menunjukkan pelarian di situ. Mereka benar-benar melaksanakannya. Bahkan bersungguh-sungguh dalam mentaati perintah Allah SWT yang satu itu. Mengenepikan segala kepentingan diri, kesenangan hati dan kehendak peribadi. Semuanya untuk mentaati Allah SWT. Mereka melaksanakannya, semampu diri mereka. Bersungguh-sungguh.

Lima pengorbanan ini, kita perhatikan semula.

Semua ini didirikan atas apa?

Atas satu perkara. Ketaatan kepada Allah SWT.

Bagaimanakah kita boleh taat kepada Allah SWT?

Dengan keimanan kepadaNya.

Kekuatan untuk mampu berkorban hakikatnya, bergantung kepada keimanan kita kepada Allah SWT. Keimanan kita kepada Allah SWT itulah yang memprodus kekuatan untu mengangkat perintahNya menjadi sesuatu yang besar dalam kehidupan kita melebihi kepentingan diri kita sendiri..

Inilah yang Allah mahu kita lihat, dan Aidiladha itu bukan semata-mata perayaan.

Tetapi ia seakan-akan satu peringatan tahunan.

“Apakah kamu wahai hamba-hambaKu, sudah bersedia untuk mengorbankan hawa nafsumu?”

Apa yang kita telah korbankan untuk Allah, untuk Islam?

Satu soalan mudah. Bagaimana kita menjawabnya?

Apa yang kita telah korbankan untuk Allah, untuk Islam dalam kehidupan kita ini?

Apabila bertemu perintah Allah dengan tuntutan hawa nafsu kita, yang mana satukah kita korbankan?

Apabila datang perintah Allah SWT, dengan kepentingan peribadi kita, yang mana satukah yang kita utamakan?

Bila datang perintah Allah SWT, dengan perintah selain daripada Allah SWT, yang mana satukah akan kita taatkan?

Kita perhatikan kembali kehidupan kita. Kita perhatikan kembali rutin kita.

Apa?

Aidiladha semakin hampir. Dan kamu lihatlah apa yang telah kamu korbankan?

Penutup: Yang berkorban itu, Allah bayar

Mengambil ‘ending’ kisah Keluarga Ibrahim tadi, Allah membayar segala pengorbanan keluarga itu dengan kemuliaan dan darjat yang tinggi tidak terhingga. Allah membalas ketaatan hamba-hambaNya, dan bukan membiarkan mereka begitu sahaja.

Di sini, ia merupakan satu motivasi buat kita, bahawa mengorbankan kepentingan diri dalam mentaati Allah SWT itu bukanlah sia-sia.

Panas sedikit, rimas sedikit pakai tudung, bukan sia-sia.

Nampak kuno sikit, berpakaian kemas dan tidak koyak-koyak, dedah-dedah, bukan sia-sia.

Korban masa sikit, untuk buat amal kebaikan dan amal bermanfaat, bukan sia-sia.

Buat baik pada orang, walaupun orang tak baik pada kita, bukan sia-sia.

Korban wang, sedekah pada yang memerlukan, bukan sia-sia.

Mereka yang mengorbankan nyawa, dalam menegakkan agama Allah SWT, bukan sia-sia.

Itulah keimanan kita.

Kita belajar daripada keluarga Ibrahim AS.

Namun siapakah yang memerhatikan?

Dan yang memerhati, siapakah yang mempraktiskannya?

Aidiladha semakin hampir.

Apakah tahap kesediaan berkorban untuk Allah kita?



SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA

SELAMAT BERCUTI

BERKORBAN UNTUK MENGETAHUI HAKIKAT KITA DIJADIKAN DI DUNIA

" DUNIA ADALAH LADANG AKHIRAT"


IBN KHALID




Masih ramai umat Islam yang keliru dalam memahami zuhud. Zuhud difahami sebagai sikap menjauhi semua persoalan keduniaan, seperti tidak mahu mencari kekayaan hidup, tidak mahu bekerja untuk kebahagiaan dunia dan tidak mahu memanfaatkan sumber alam. Sikap ini tentu saja tidak betul, seperti yang dibantah oleh para ulama' dengan kata-kata, "Ingatlah, bahawa menguruskan sumber alam adalah bahagian yang sangat penting dari tujuan syari'at." Imam al-Raghib al-Asfahani mengatakan, bahawa bagi umat Islam, dalam menguruskan sumber alam. setidak-tidaknya dimotivasi oleh tiga hal yang sangat penting iaitu:

Pertama: Ibadah kepada Allah. FirmanNya:

Ertinya: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah dan beribadah kepadaKu."(adz-Dzariyat : 56)

Kedua: Menjalankan tugas manusia sebagai khalifah di muka bumi, sebagaimana ditegaskan oleh Allah S.W.T. tentang fungsi manusia. di bumi dalam firmanNya:

Ertinya: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. (al-Baqarah :30)

Ketiga: Kewujudan perintah Allah S.W.T. agar manusia menjadi pengelola seluruh sumber yang ada di bumi (imarat al-ardhi), seperti yg terkandung di dalarn firmanNya:

Ertinya: "Dialah yang menjadikan kamu dari bahan­-bahan bumi, serta menghendaki kamu memaknuikannya." (Hud : 61)

Ayat ini mengandungi perintah agar kita mengurus seluruh sumber atau hasil alam yang ada di muka bumi. Oleh yang demikian, zuhud bukan bererti harus meninggalkan usaha atau mengabaikan tugas sebagai pengurus sumber alam. Ia adalah suatu komitmen untuk hidup secukupnya, tetapi tidak menjadikan diri terbelenggu dengan kepentingan dunia sehingga melupakan kepentingan akhirat. Pendek kata, ibarat kita berjalan di atas muka bumi tetapi kepala kita menengadah ke atas. Kita hidup di dunia dengan hati sebagai penghuni akhirat. Kita bekerja untuk dunia seolah-olah hidup selamanya dan bekerja untuk akhirat seolah-olah akan mati esok. Inilah prinsip yang dipegang teguh oleh para sahabat Nabi Muhammad s.a.w.


Jadi, prinsip zuhud yang benar ialah kita menguasai dunia tetapi dunia tidak menguasai kita. Dunia hanya ada di tangan, tetapi tidak di dalam hati. Maka tidak hairan kalau ramai sahabat Rasulullah s.a.w. yang menjadi orang kaya, misalnya Abu Bakar r.a., 'Uthman r.a. dan 'Abdul Rahman bin 'Auf r.a. Padahal mereka tergolong sepuluh sahabat yang dijamin masuk syurga. Mereka kaya, tetapi mereka tidak dikuasai oleh harta benda dan hiasan dunia lainnya.

'Abdul Rahman bin 'Auf misalnya, telah mengikut Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah. Dia rela mening­galkan rumah, kebun dan segala hartanya di Mekah. Di Madinah dia mulakan hidup dari kosong. Namun, semangat berusaha 'Abdul Rahman bin 'Auf tidak pernah surut. Ketika dipersaudarakan oleh Rasulullah s.a.w. dengan Sa'ad bin Rabi' al-Ansari, Sa'ad menawarkannya untuk memilih salah satu rumahnya sebagai tempat tinggal dan menawarkan hartanya untuk dibahagi dua.'Abdul Rahman bin 'Auf membalas pemberian yang sangat berharga ini dengan penuh kewibawaan, seraya berkata,"Semoga Allah memberkati keluarga, rumah dan harta anda, tetapi aku adalah seorang pedagang, maka tunjukkanlah kepadaku di mana ada pasar di sini."

Ketika itu pasar di bawah monopoli Bani Qainuqa' dari golongan Yahudi. Namun 'Abdul Rahman bin 'Auf yakin dan sedia bersaing dengan Bani Qainuqa' yang menguasai ekonomi. Dalam waktu yang singkat dia mampu bersaing dengan orang Yahudi. Sehinggalah pada suatu hari dia datang kepada Rasulullah s.a.w. dengan bau yang sangat harum. Maka apabila Rasulullah s.a.w. bertanya, dia menjawab, "Saya sudah bernikah, wahai Rasulullah." Rasulullah s.a.w. bertanya lagi, "Apakah sudah mengadakan walimah?" Dia menjawab, "Belum!" Maka Rasulullah s.a.w. berkata, "Laksanakan walimah walaupun hanya dengan seekor kambing." Walaupun 'Abdul Rahman bin 'Auf memulakan usahanya dari kosong di Madinah, namun ketika dia meninggal dunia, dia meninggalkan emas yang cukup banyak. Seperti dikatakan Ibnu Sa'ad, bahawa emas peninggalannya dibahagikan kepada empat isterinya dengan bahagian masing-masing lapan puluh ribu dinar. Jumlah ini hanyalah satu pertiga puluh dari semua jumlah hartanya. Cuba bayangkan berapakah jumlah keseluruhan harta 'Abdul Rahman bin 'Auf yang pada saat itu nilai dinar dan dirham sangat tinggi.

Namun, dia tidak teragak-agak menginfaqkan berjuta-juta hartanya untuk membantu semua keperluan pasukan jihad dan membantu fakir miskin. Demikian juga kekayaan 'Uthman bin 'Affan. Dunia dalam genggaman mereka, tetapi mereka tidak sampai gila kepada dunia. Mereka memperbudakkan dunia tetapi mereka tidak diperbudakkan oleh dunia. Jelaslah, betapa dalam mencari harta dunia, yang penting, dunia tidak dijadikan satu-satunya primadona supaya dunia tidak memperbudakkan kita. Inilah zuhud yang sesungguhnya.

Bagaimanapun, ada juga umat Islam yang memburukkan imej ajaran Islam, seperti yang dilakukan oleh segelintir masyarakat yang gaya hidup melambangkan kemiskinan. Mereka memutuskan sama sekali dengan keduniaan. Mereka hidup tanpa bekal, tanpa bekerja, padahal mereka mampu bekerja. Jelas amalan ini bertentangan dengan syari'at Islam dan tidak sesuai.

Ketika 'Umar r.a. melihat beberapa orang berdiam diri di masjid setelah solat
Jumaat, dia bertanya kepada mereka, "Siapakah kamu?" Mereka menjawab, "Kami adalah orang yang bertawakkal kepada Allah." Lalu 'Umar r.a. berkata, "Sesungguhnya kamu adalah orang pasrah yang tidak mahu berusaha untuk mencari rezeki dan hanya berdoa: "Ya Allah berilah kami rezeki." Padahal mereka tahu bahawa langit tidak menurunkan hujan emas atau perak, tetapi Allah S.W.T. yang memberikan rezeki kepada manusia. Apakah kamu tidak pernah mendengar firman Allah: Apabila telah ditunaikan solat maka bertebaranlah kamu di muka bumi?" Setelah berkata demikian, 'Umar r.a. segera mengusir mereka dari masjid.

Adaptasi dari Buku Sanggahan Salah Tafsiran Islam oleh Dr. Qardhawi

ZUHUD - perkataan yang seringkali kita dengar dan ucapkan.. pada mula diri ini memahami konsep ini dengar pemikiran yg cetek dan singkat.. pandangan awal diri ini ialah kita tidak perlu cari lebih cukupkan sekadar apa yang kita peroleh di dunia.. jika cari lebih ditakuti akan mementingkan dunia daripada akhirat.. semakin hari semakin dewasa semakin bole memahami apakah yang dimaksudkan dengan zuhud..

dalam buku syarah arba'in nawawiyah, ada dibincang tentang spirit zuhud...

bersumberkan dr abu abbas alias bin sa'ad assa'idi ra. ia bercerita ada seorang lelaki menemui nabi muhammad s.a.w dan berkata " wahai rasullullah, tolong tunjukkan aku suatu amal yang jika aku kerjakan niscaya Allah dan orang akan mencintaiku.. nabi muhammad bersabda " bersikaplah zuhud terhadap dunia, niscaya Allah akan mencintaimu. Dan bersikaplah zuhud terhadap apa yang ada pada manusia, niscaya mereka akan mencintaimu". ( hadith hasan diriwayatkan ibn majah dan lainnya dengan beberapa sanad hasan).

bnyak yang diperoleh dari hadith ini antaranya ialah zuhud pada dunia bererti kita lebih cenderung pada akhirat. melakukan amal2 akhirat dan menjalani kehidupan dengan sentiasa mengharapkan manfaat untuk akhirat.. zuhud pada manusia adalah kita tidak meminta pada manusia apa yang mereka miliki. sebab watak manusia tidak suka seseorang meminta apa yg ada ditangan mereka. jika kita dapat menjaga hal yang demikian, insyaAllah kita akan menjadi orang yang dicintai...

insyaAllah, sahabat semua, berusahalah sedaya yang mungkin, perolehlah rezeki yang dikurnia Allah dimuka bumi ciptaannya, hiasilah rezeki dan kehidupan dengan amalan yang membawa kita kepada kebahagian akhirat, belajarlah bersungguh-sungguh dalam mencari ilmu, tingkatkan ekonomi diri.... moga2 spirit zuhud dalam diri dapat dirasai...

bantulah orang yang susah... kerna susah itu dicipta untuk orang yang senang menjadi bahagia diakhirat kelak.. moga2 kita menjadi makhluk yang dicintai Allah dan makhluk yang lain..

" DUNIA ADALAH LADANG AKHIRAT"

"SELAMAT BERCUTI "


IBN KHALID



Alam semesta mula mengembang sejak langit dan bumi dipisahkan ALLAH s.w.t. (Al-Quran 21:30). Manusia menamakan pemisahan ini dengan The Big Bang Theory.

Kajian saintis baru-baru ini telah mendapati bahawa pengembangan ini bukan sahaja masih terjadi, malah kelajuannya semakin meningkat.


Ia menafikan tanggapan awal bahawa kelajuan pengembangan alam semesta ini akan menjadi semakin perlahan .Oleh kerana kita adalah sebahagian daripada alam ini, kita juga mengalami pengembangan.

Kejadian kita yang lahir sebagai bayi yang kecil dan kemudian membesar menjadi kanak-kanak, remaja dan dewasa adalah satu bentuk pengembangan atau tumbesaran.

Pada saat kita duduk diam membaca tulisan ini pun, kita sebenarnya sedang bergerak dan berubah. Sel-sel di dalam tubuh tetap membiak dan berkembang. Jika setitik darah kita diperhati melalui mikroskop, kita akan dapati sel-selnya bersimpang-siur dan berkitar laju. Sebab itulah, jika kita tidak mahu berubah kerana berada di zon selesa, kita sebenarnya telah melanggari tabiat alam yang sentiasa berubah, mengembang dan bergerak.

Rugilah sesiapa yang tidak mahu memperbaiki diri sendiri, sama ada daripada segi mental, fizikal dan spiritual.
Berubah daripada yang tidak bagus kepada yang lebih bagus sebenarnya adalah fitrah manusia yang sentiasa inginkan kebaikan di dalam hidupnya.

Kita mahu hari ini lebih baik daripada semalam, dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Seandainya kita tidak mahu memperbaiki keadaan diri, kita akan menggelongsor, merudum dan terjelepuk di lopak kehidupan yang sama.

Bagaimana pun, berubah itu sendiri perlu caranya. Kalau tidak kena gaya, maka perubahan yang dilakukan itu hanya sementara. Sama seperti resolusi tahun baru yang telah dilupakan belum pun sampai sebulan ia dinawaitukan. Terdapat tiga pendekatan dalam melakukan perubahan. Perubahan jenis yang pertama adalah berbentuk evolusi dan yang kedua berbentuk reformasi, sementara yang ketiga dalam bentuk revolusi.

Evolusi

Memutar jam lebih awal 15 minit untuk bangun pagi agar tidak lewat sampai ke pejabat, makan sebelum jam 8.00 malam untuk menjaga kelangsingan tubuh atau menahan amarah ketika memegang stereng kereta umpamanya, adalah di antara perubahan-perubahan kecil yang merupakan evolusi diri. Ia mudah dilaksanakan kerana kita boleh lakukannya hari ini, malah sekarang juga.

Bagaimana pun, kesannya hanya sedikit dan tidak ketara. Malah, orang lain tidak akan nampak akan perubahan ini kerana ia juga tidak akan memberi kesan kepada orang di sekeliling. Ia seperti kaizen dalam istilah Jepun iaitu perubahan yang sedikit tetapi berterusan.

Reformasi

Perubahan dalam bentuk yang kedua pula lebih inovatif. Dan perubahan ini menemukan jawapan melalui pemikiran lateral. Kita bukan sahaja mempercepatkan jam 15 minit lebih awal supaya bangun lebih cepat, tetapi turut tidur lebih awal. Kita bukan sahaja makan sebelum jam 8.00 malam, tetapi mula bersenam.
Kita bukan sahaja menahan amarah ketika memandu, tetapi memasang lagu-lagu nasyid di dalam kereta untuk memperoleh lebih ketenangan. Cara ini lebih reformatif kerana ia memerlukan pemikiran di luar kotak.

Kedua-dua perubahan secara evolusi dan reformatif ini boleh diaplikasikan jika kita mahukan perubahan kecil dan sederhana. Bagaimana pun, perubahan dalam bentuk yang ketiga ini adalah perubahan yang revolusioner.
Perubahan ini memerlukan satu pendekatan yang jauh berbeza.

Jika perubahan evolusi dan reformatif ini bersumberkan perubahan yang berdasarkan fakta, keadaan dan tabiat yang ada, perubahan jenis revolusi ini membuang terus apa yang ada dan membina yang baru sama sekali!

Dalam konsep pembelajaran, perubahan revolusioner ini menuntut seseorang itu untuk unlearnrelearn atau membuang apa yang selama ini dipelajari dan belajar semula ilmu yang telah dipelajari.

Hijrah

Inilah yang dinamakan hijrah! Pengajaran daripada hijrah Rasulullah s.a.w dari
Makkah ke Madinah ialah, ia merupakan perpindahan fizikal dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Dari segi mental, ia meninggalkan satu kebiasaan untuk membina satu kebiasaan yang lain. Dan daripada segi spiritual, ia memerlukan kekuatan rohani untuk menjayakan sesuatu perubahan itu.

Hijrah adalah perubahan total dengan meninggalkan suasana fizikal , pola pemikiran dan amalan spiritual yang menjadi anutan selama ini. Misalnya, daripada hidup bersama ibu bapa kepada berumahtangga sendiri, daripada makan gaji kepada bekerja sendiri dan daripada menjadi makmum kepada menjadi imam.

Hijrah, atau perubahan revolusioner itu memerdekakan fizikal, mental dan spiritual seseorang. Ia menyerlahkan kehebatan seseorang individu itu. Malah, ia memberi erti kepada maksud kehidupan seseorang individu itu sendiri. Seperti alam semesta yang tiada henti pengembangannya, perubahan diri seseorang itu tidak seharusnya ada noktah dalam garis kehidupannya.


PERUBAHAN YANG SEDIKIT TETAPI ISTIQAMAH

REFORMASI EVOLUSI TRANFORMASI

IBN KHALID


Kahwin awal. Ramai akan memberikan pro dan kontranya. Benda ini biasanya diutarakan oleh remaja, pelajar. ‘Awal’ yang dimaksudkan dalam ayat ‘kahwin awal’ itu biasanya dilihat pada umur 23 ke bawah. Sebab bila dah umur 24, orang tak ramai bising menyatakan itu awal. Walaupun ada juga sebahagian orang yang saya jumpa, dia kata bahawa kahwin umur 25 itu awal juga. Katanya umur 30 baru ok. Entahlah.

Cuma biarlah saya fokuskan ‘kahwin awal’ ini kepada yang berumur 23 ke bawah ya. Sebab ada benda dalam artikel ini yang saya suka nak khaskan buat mereka yang berumur baya-baya saya ini.

Pertamanya, saya bukan nak kata ‘kahwin awal itu betul’ atau ‘kahwin awal itu salah’. Pada saya, kahwin awal boleh jadi betul, dan boleh jadi salah. Pokok pangkalnya, dalam hal kahwin awal, saya suka untuk membawa diri saya dan diri kita semua untuk melihat semula kepada dua perkara utama dalam isu kahwin awal.

1. Membina rumah tangga.

2. Orang yang hendak membina rumah tangga.

Kenapa saya tak sebut ‘kahwin’. Sebab ‘kahwin’ memang senang. Sehari je kahwin. Majlis kahwin. Akad nikah. Dan lain-lain. Sehari sahaja. Tetapi siapa nak berumah tangga sehari sahaja? Kalau ada tak mengapa. Tak payah baca yang ini.

Tujuan berumah tangga

Maka saya membawa pada asas terlebih dahulu. Apa tujuan berumah tangga?

Rata-rata remaja akan mengutarakan jawapan seperti berikut:

1. Cinta.

2. Tak nak berdosa. Nak tunduk pandangan. Jauhi zina.

3. Nak lorongkan nafsu ke jalan yang benar.

Biasanya untuk pemuda yang belajar sikit, dia akan mengutarakan hadith ini sebagai dalilnya.

Rasulullah SAW ada bersabda: “Wahai sekalian para pemuda, barangsiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan hendaklah segera bernikah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata dan lebih menjaga kehormatan diri…” (Muttafaq ‘Alaih).

Maka di sini, ramai yang melihat kahwin awal adalah solusi kepada cintanya yang berbuah semasa remaja, semasa belajar. Kahwin awal adalah solusinya untuk menjauhkan dosa dari berhubungan cara yang tidak dibenarkan Islam. Kahwin awal adalah solusi untuk dia menjaga diri dari dari nafsu yang tidak terkawal dan sebagainya.

Tetapi, benarkah tujuan berumah tangga hanya itu?

Rumah tangga bukan sekadar itu.

Rumah tangga hakikatnya adalah madrasah pertama kepada manusia. Sedar atau tidak, ia adalah hakikat yang tidak boleh ditolak. Majoriti masyarakat dunia lahir dari institusi rumah tangga. Mungkin sebahagian kecil lahir di tengah hutan, di lorong gelap, dan membesar tanpa keluarga, itu adalah kes yang boleh dikira terpencil berbanding majoriti seluruh dunia.

Apabila kita memandang bahawa rumah tangga adalah madrasah membina individu-individu dalam masyarakat, dan tanpa kita sedari rumah tangga merupakan asas terpenting kepada sebuah masyarakat, negara, dan ummah.

Memang wujud institusi lain dalam kehidupan kita seperti nurseri, tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, dan universiti. Itu kalau tidak kita campur dengan institusi ‘underground’ baik yang baik, mahupun yang buruk.

Tetapi kita dapat lihat betapa ‘asas peribadi’ yang datang ke institusi-institusi tadi hakikatnya sudah terbina sebelum mereka masuk ke institusi-institusi tadi. Di manakah ianya terbina?

Di rumah. Di dalam rumah tangga. Di tangan mak ayah, atau sesiapa sahaja yang menjadi ‘guru pertama’nya di tempat dia membesar.

Maka sekali lagi kita lihat bahawa, asasnya adalah rumah tangga.

Maka, dapatkah kita dapat membayangkan bagaimana nanti sekiranya rumah tangga yang terbina adalah rumah tangga yang rosak, apakah efeknya kepada pembinaan masyarakat dan ummah?

Ya. Akhirnya kita melihat bahawa, rumah tangga yang kita bina bukan semata-mata kita.

Kita hakikatnya sedang membina ummah.

Rumah tangga bukan sekadar sehari dua.

Baik. Memahami perkara tadi, maka kita perlu melihat bahawa rumah tangga adalah satu perjalanan yang panjang. Bukan sehari dua, kemudian kita robohkan. Pada rumah tangga itu ada tanggungjawab. Tujuannya bukan semata-mata kepuasan hawa nafsu, hendak menjauh daripada dosa dan cintan-cintun semata-mata. Ia meliputi hendak membuat lebih banyak kebaikan(dengan membina rumah tangga yang bermanfaat untuk Islam, mampu memberi sumbangan kepada Islam) dan membawa definisi cinta yang sebenar, yakni hendak bersama hingga ke syurga.

Dan akhirnya kita dapat lihat di sini bahawa rumah tangga bukanlah keseronokan dua individu bernama suami dan isteri semata-mata. Bukanlah di dalamnya wujud semata-mata keindahan. Tetapi wujud juga halangan dan cabaran.

Maka di sini kita melihat bahawa, ada tanggungjawab lain menanti kita di dalam rumah tangga. Tanggungjawab yang memerlukan kita serius dan matang dalam membuat keputusan. Tanggungjawab yang memerlukan kita bijak dalam mengawal emosi dan perasaan. Tanggungjawab yang memerlukan kita mempunyai peribadi yang baik dan mampu mendidik. Tanggungjawab yang memerlukan kita mempunyai teknik pengurusan yang baik dan mampu merancang dengan baik.

Semua ini kita perlukan untuk menjalankan rumah tangga yang baik dan diredhai oleh Allah SWT.

Dapatkah kita melihat besarnya rumah tangga?

Entahlah. Kalau saya, saya pandang rumah tangga itu macam inilah.

Maka datanglah hal kahwin awal.

Apabila membicarakan hal kahwin awal, maka guru saya, Cikgu Azmi Bahari ada menyatakan berkenaan: “Yang layak berkahwin”.

Ya. Sebenarnya pada saya, kahwin awal itu bukanlah masalah sekiranya yang nak kahwin awal itu sudah layak berkahwin. Maka timbul persoalan, siapakah yang layak berkahwin.

Cikgu Azmi Bahari cakap pada saya:

“Sekiranya enta dah mampu nak sara keluarga, itu dikira layak berkahwinlah.”

Sebahagian orang akan melihat bahawa ini satu cubaan membangkitkan kepentingan wang dalam berumah tangga. Maka ada orang akan kata pada saya bahawa, jangan takut fasal duit, itu semua nanti adalah tu.

Baik, saya bukan takut fasal duit. Dan saya tak rasa Cikgu Azmi Bahari berkata ke arah itu juga. Pada saya, maksud sara keluarga ini adalah orang itu mampu menyara dirinya sendiri terlebih dahulu. Mampu menyara diri ini, tidaklah semestinya duit banyak. Maksudnya, dia mampu berdikari, menguruskan dirinya, mampu mencari sumber wang dan mampu berusaha. Bukan hidup bergantung kepada orang lain, bukannya orang yang tidak mahu mempertingkatkan diri apabila menyedari kekurangan, bukannya mendapat wang dari sumber yang dia tidak usahakan dan sebagainya.

Hal ini apabila kita pulang kepada apa yang saya nyatakan pada sub topik-sub topik sebelumnya, maka ia adalah amat relevan.

Kita perlu menampung satu tanggungjawab yang berat dan besar. Bukan sekadar hendak memberi makan, bahkan memimpin orang ke syurga. Bukan sekadar untuk keseronokan diri, tetapi untuk kebaikan ummah. Maka adakah sebenarnya kita layak melakukan sesuatu perkara yang sangat besar ini, dalam keadaan kita sendiri tidak pandai menguruskan diri dan berdikari?

Jadi, apabila kita sudah mampu menguruskan diri sendiri dan pandai berdikari, tidak kiralah umur berapa pun, maka kahwinlah sekiranya mahu. Bina rumah tangga. Sebab itu dahulu, orang tidak hairan dengan datuk nenek kita yang berkahwin umurnya 17 tahun, 16 tahun, 15 tahun dan sebagainya. Bukan sebab pada umur itu mereka sudah mempunyai harta yang banyak. Tetapi sebab mereka sudah layak berkahwin. Mereka pandai mengurus diri dan berdikari dengan baik.

Boleh bandingkan datuk nenek kita masa umur mereka 17 tahun, dengan pelajar SPM 17 tahun hari ini.

Pada saya, kalau sekadar ‘mampu’ untuk menampung kos perkahwinan yang hanya makan masa sehari itu, semua orang boleh. Yang mampu RM40,000, kahwin dengan RM40,000. Ada juga yang buat majlis sekitar RM2,000 sahaja. Kahwin memang senang.

Tetapi berumah tangga? Itu satu perkara yang lain.

Tak mengapa, mak ayah tampung.

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.” Surah An-Nuur ayat 32.

Maka ada remaja yang hendak kahwin awal, merasa mudah dengan bergantung terus kepada ibu bapa mereka berdasarkan dalil di atas.

“Tak apa, ayah ana ada.”

“Tak apa, mak ana boleh tampung.”

“Kos majlis kahwin, hantaran, semua ummi ana bayar.”

“Ayah ana kata dia nak hadiahkan rumah dan kereta. Ana tak payah risau dah.”

Hakikatnya. Pada asas, ibu bapa tidak perlu menampung anak lelaki mereka. Sepatutnya, seorang lelaki yang mempunyai hajat untuk berkahwin, perlulah berusaha untuk memenuhi keperluannya agar mampu berkahwin dan menggerakkan rumah tangga.

Tetapi bukanlah salah apabila kita hendak menjaga kehormatan Islam dengan mengelak tragedi seperti berzina, rogol dan sebagainya dengan ibu bapa menampung atau membiayai perkahwinan si anak dan mempermudahkan perjalanan rumah tangganya.

Cuma kenapa saya bangkitkan hal ini di sini?

Kerana saya hendak kita kembali melihat kepada tujuan rumah tangga dan peranannya kepada ummah seperti di atas. Pada saya, orang yang hendak berkahwin awal, kemudian meletakkan pergantungan rumah tangganya kepada kedua ibu bapanya adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Rumah minta mak ayah belikan. Kereta nak mak ayah tampung. Sedangkan majlis kahwin dan segala urusannya juga mak ayah yang berikan dana. Tiada dari duit sendiri yang dikumpul dengan penat lelah. Tiada dari usaha keras sendiri berusaha mencari dana. Maka di sini ada satu kepincangan dalam isu memandang berat terhadap tanggungjawab.

Bahkan, kita dapat melihat bahawa isu menampung keperluan hidup berumah tangga adalah tanggungjawab ketua keluarga yakni Si Suami. Bukan tanggungjawab ibu bapa Si Suami.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sebaik-baik kamu adalah yang makan dari hasil usaha kamu sendiri” Hadith riwayat Ahmad.

Dan firman Allah SWT: “…dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” Surah Al-Baqarah ayat 233.

Jadi apakah seorang ketua keluarga, yang dalam perhitungan dan perancangannya: “Tak apa, mak ayah ana ada. Diorang boleh sara ana dengan isteri.”

Persoalannya, apakah kahwin dan rumah tangga itu semata-mata hal penyaraan?

Konsikuensi tidak matang terhadap rumah tangga

Apabila tujuan berumah tangga tidak jelas, atau yang mendirikan rumah tangga tidak matang, tidak mampu, maka kesan terhadap rumah tangga adalah buruk.

Perceraian, kepincangan, anak-anak yang tidak terurus, kehidupan yang tidak bahagia dan lebih buruk lagi kepincangan ummah dan kemerosotan kualiti masyarakat. Oh, jangan ceritalah pada saya berkenaan mencari keredhaan Allah SWT dan membawa keluarga bersama ke syurga apabila rumah tangga sudah tidak terurus.

Remaja cenderung melihat kahwin awal adalah satu-satunya penyelesaian dalam hal cinta, menjauhi dosa, takut zina dan sebagainya, sekaligus mematikan opsi-opsi yang lain yang hakikatnya wujud. Sepatutnya kita berpandangan jauh dan melihat dengan teliti.

Apakah kebaikan sebentar kemudian membawa keburukan yang bertali arus itu solusi yang hakiki?

Maka habisilah dan telitilah sabda Rasulullah SAW itu.

Maka saya suka hendak menunjukkan kepada anda akan baki daripada hadith Rasulullah SAW yang saya utarakan di awal artikel ini tadi.

Rasulullah SAW ada bersabda: “Wahai sekalian para pemuda, barangsiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan hendaklah segera bernikah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata dan lebih menjaga kehormatan diri…” (Muttafaq ‘Alaih).

Sempurnya hadith itu adalah begini:

Rasulullah SAW ada bersabda: “Wahai sekalian para pemuda, barangsiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan hendaklah segera bernikah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata dan lebih menjaga kehormatan diri, dan barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya puasa itu baginya adalah benteng.(Muttafaq ‘Alaih).

Kahwin awal hanyalah untuk orang yang layak berkahwin awal. Yang mampu. Justeru, apabila kita menyedari bahawa kita bukanlah dari golongan yang ‘mampu’, maka hendaklah kita berpuasa dan memohon perlindungan daripada Allah, menjauhkan diri dari punca-punca yang boleh mendorong kita ke arah keingkaran kepadaNya, dan pada masa yang sama bermati-matian berusaha mempertingkatkan diri kita untuk menjadi orang yang layak berkahwin, orang yang mampu berkahwin.

Diperhatikan semula, hadith ini selain dinyatakan perihal kahwin sebagai solusi, ia juga mengutarakan ‘bertahan dan mempertingkatkan diri’ sebagai solusi. Apakah natijah puasa? Taqwa. Dan taqwa itu natijahnya adalah peningkatan terhadap peribadi. Mengapa Rasulullah tidak tinggalkan solusinya sekadar ‘kahwin’ semata-mata?

Kerana ‘mampu’ adalah satu indikator yang amat penting dalam berumah tangga.

Rumah tangga bukan perkara sehari dua.

Rumah tangga bukan hal kamu berdua(lelaki dan perempuan).

Rumah tangga hal ummah pada hakikatnya.

Kita kahwin bukan semata-mata nak halalkan chit-chat kita dalam YM.

Kita bukan berkahwin semata-mata untuk halalkan pegang tangan peluk-peluk.

Kita bukan berkahwin semata-mata nak halalkan telefon kita bergayut-gayut selama ini.

Kita bukan berkahwin semata-mata kerana nak halalkan dating kita selama ini.

Bukan semata-mata itu semua dan bukan.

Rumah tangga lebih besar dari hal kita berdua. Ia lebih panjang dari apa yang kita sangkakan. Bukan terbina atas suka-suka semata-mata. Tetapi perlu dibina dengan perancangan hakikatnya.

Penutup: Saya bukan kata tak boleh kahwin awal.

Artikel ini bukan melarang kahwin awal. Kalau rasanya sudah mampu, kahwinlah. Artikel ini juga bukan melarang ibu bapa untuk tampung anak-anaknya kahwin awal. Kalau rasa anak-anak itu sudah mampu menguruskan sebuah rumah tangga, maka tampunglah. Artikel ini juga bukanlah nak memberat-beratkan orang bujang yang nak menikah. Saya tak rasa pun ini memberat-beratkan. Kalau rasa sudah layak, tiada masalah, kahwinlah. Umur 15 pun saya tak larang kalau dah layak.

Artikel ini wujud supaya generasi hari ini tidak memandang enteng akan perkahwinan dan rumah tangga yang hendak dibina. Pada saya, kahwin adalah ibadah. Kehidupan berumah tangga adalah ibadah. Semuanya ada saham dalam pembentukan ummah. Justeru kita perlu pandang serius akan hal membina rumah tangga. Kalau benar cinta, cinta mesti hendak bersama ke syurga.

Kahwin bukan semata-mata melempiaskan hawa nafsu, bermain-main, syok-syok, suka-suka.

Kahwin adalah untuk membina rumah tangga, madrasah pertama kepada ummah.

Mengapa tidak boleh kita pandang lebih serius akan hal ini?

Kata-kata guru saya amat saya ingati:

“Perkahwinan hanyalah gerbang. Rumah tangga adalah perjalanan selepas kita melepasi gerbang itu.” ~ Pakcik Rosdi bin Baharom, kini Pengarah HEP di Kolej Teknologi Darulnaim, Kelantan.

Ini sekadar cambahan idea saya. Untuk ditimbang-timbangkan.

Semoga bermakna.


syukran pada hilal asyraf kerna dapat memberikan gambaran berkenaan perihal rumah tangga.. melalui analisa dan pemerhatian diri ini, ramai di antara pemuda-pemudi islam masih kurang kefahaman tentang isu rumah tangga, pabila cinta bertandang awal, mula mengorak langkah mengikut hawa nafsu , akibat terjerat godaan syaitan dan pengaruh suasana..

teringat kata ustaz pahrol juoi, cinta itu seperti madu, jika sebelum ini kita pernah bercinta maka ia akan hilang kemanisannya.. sebelum kahwin sudah bercinta , maka madunya juga akan berkurang manisnya pabila kahwin nanti..

justeru, ayuh sahabat luaskan pandangan, perbanyakkan bacaan, lengkapkan persediaan untuk berumah tangga, kerna sebenarnya rumah tangga yang cemerlang akan mampu melahirkan perwaris islam yang terbilang... kita penerus generasi akan datang... fikirkan kita yang akan mencorak dunia pada masa akan datang..


kuatkan iman , tingkatkan kefahaman,
disitu ada jalan


"selamat bercinta sampai ke syurga"

ibn khalid

ADAKAH KAU LUPA?

ADAKAH KAU LUPA?
ditujukan khas untuk para pejuang dan pencinta agama ALLAH,